Friday 3 July 2015

Transformasi pengangkutan awam capai kemajuan

Transformasi pengangkutan awam capai kemajuan (SumberBerita)

KUALA LUMPUR 28 Jun - Program transformasi pengangkutan awam merekodkan kemajuan memberangsangkan dengan mencatatkan kenaikan 21 peratus pada tahun ini berbanding 17 peratus pada 2010 bagi nisbah mod pengangkutan awam bandar.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah pengguna pengangkutan awam pada waktu puncak pula mencatatkan sebanyak 437,525 penumpang pada setiap bulan iaitu telah berjaya melepasi sasaran purata 400,000 penumpang sepanjang tahun lalu.
Menurut beliau, peningkatan jumlah pengguna itu dipercayai ekoran beberapa penambahbaikan yang diperkenalkan kerajaan kepada sistem pengangkutan awam negara menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara( NKRA).
"Pertambahan peratus nisbah mod pengangkutan awam bandar sepanjang empat tahun lalu itu semakin menghampiri sasaran kepada 25 peratus menjelang 2015 selain sasaran 750,000 penumpang pada setiap bulan serta 75 peratus rakyat akan mempunyai akses kepada laluan pengangkutan awam tahun depan.
"Ketika Malaysia berhadapan ekonomi global dan memulakan transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, kita perlu mewujudkan sistem pengangkutan awam bandar bertaraf dunia, selesa serta menawarkan harga berpatutan selari dengan hasrat tersebut.
"NKRA Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Bandar (UPT) diperkenalkan untuk menangani masalah-masalah pengangkutan yang biasa kita dengar dan pada masa sama membolehkan keseluruhan infrastruktur menyokong kemajuan negara,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kompleks Parkir Bertingkat ‘Park n Ride’ di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang, di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar dan Pengerusi Syarikat Prasarana Negara Berhad, Tan Sri Ismail Adam.
Kompleks bernilai RM30 juta itu dilengkapi 1,140 petak kenderaan dengan 144 petak dikhaskan untuk golongan wanita dan 20 petak istimewa untuk golongan orang kurang upaya (OKU).
Muhyiddin berkata, kerajaan turut membina kemudahan 30 `Park n Ride’ lain di stesen-stesen LRT, KTM Komuter dan Express Rail Sdn. Bhd. (ERL) sekali gus bakal menyediakan 11,000 petak kenderaan untuk pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang menjelang 2015.
Selain itu, kata beliau, beberapa penambahbaikan lain juga diperkenalkan bagi sistem pengangkutan awam seperti penambahan kapasiti set tren perkhidmatan KTM Komuter daripada tiga kepada enam gerabak serta mewujudkan hab pengangkutan awam bersepadu yang strategik seperti Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan.
"Inisiatif lain termasuk meningkatkan perhubungan perjalanan dan menyediakan perkhidmatan bas bandar percuma (Go-KL) yang berfungsi untuk menarik minat terhadap penggunaan pengangkutan awam dengan lebih meluas.
"Inisiatif ini merupakan contoh komitmen kerajaan dalam memastikan keselesaan rakyat menjadi keutamaan selain ia merupakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan kepada Menteri Pengangkutan,"katanya.
Muhyiddin sebelum itu bersama-sama rakyat menaiki tren LRT ke Stesen Ampang dan kemudiannya melakukan tinjauan parkir bertingkat di situ.

No comments:

Post a Comment