Friday 3 July 2015

Transformasi pengangkutan awam capai kemajuan

Transformasi pengangkutan awam capai kemajuan (SumberBerita)

KUALA LUMPUR 28 Jun - Program transformasi pengangkutan awam merekodkan kemajuan memberangsangkan dengan mencatatkan kenaikan 21 peratus pada tahun ini berbanding 17 peratus pada 2010 bagi nisbah mod pengangkutan awam bandar.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah pengguna pengangkutan awam pada waktu puncak pula mencatatkan sebanyak 437,525 penumpang pada setiap bulan iaitu telah berjaya melepasi sasaran purata 400,000 penumpang sepanjang tahun lalu.
Menurut beliau, peningkatan jumlah pengguna itu dipercayai ekoran beberapa penambahbaikan yang diperkenalkan kerajaan kepada sistem pengangkutan awam negara menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara( NKRA).
"Pertambahan peratus nisbah mod pengangkutan awam bandar sepanjang empat tahun lalu itu semakin menghampiri sasaran kepada 25 peratus menjelang 2015 selain sasaran 750,000 penumpang pada setiap bulan serta 75 peratus rakyat akan mempunyai akses kepada laluan pengangkutan awam tahun depan.
"Ketika Malaysia berhadapan ekonomi global dan memulakan transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, kita perlu mewujudkan sistem pengangkutan awam bandar bertaraf dunia, selesa serta menawarkan harga berpatutan selari dengan hasrat tersebut.
"NKRA Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Bandar (UPT) diperkenalkan untuk menangani masalah-masalah pengangkutan yang biasa kita dengar dan pada masa sama membolehkan keseluruhan infrastruktur menyokong kemajuan negara,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kompleks Parkir Bertingkat ‘Park n Ride’ di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang, di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar dan Pengerusi Syarikat Prasarana Negara Berhad, Tan Sri Ismail Adam.
Kompleks bernilai RM30 juta itu dilengkapi 1,140 petak kenderaan dengan 144 petak dikhaskan untuk golongan wanita dan 20 petak istimewa untuk golongan orang kurang upaya (OKU).
Muhyiddin berkata, kerajaan turut membina kemudahan 30 `Park n Ride’ lain di stesen-stesen LRT, KTM Komuter dan Express Rail Sdn. Bhd. (ERL) sekali gus bakal menyediakan 11,000 petak kenderaan untuk pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang menjelang 2015.
Selain itu, kata beliau, beberapa penambahbaikan lain juga diperkenalkan bagi sistem pengangkutan awam seperti penambahan kapasiti set tren perkhidmatan KTM Komuter daripada tiga kepada enam gerabak serta mewujudkan hab pengangkutan awam bersepadu yang strategik seperti Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan.
"Inisiatif lain termasuk meningkatkan perhubungan perjalanan dan menyediakan perkhidmatan bas bandar percuma (Go-KL) yang berfungsi untuk menarik minat terhadap penggunaan pengangkutan awam dengan lebih meluas.
"Inisiatif ini merupakan contoh komitmen kerajaan dalam memastikan keselesaan rakyat menjadi keutamaan selain ia merupakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan kepada Menteri Pengangkutan,"katanya.
Muhyiddin sebelum itu bersama-sama rakyat menaiki tren LRT ke Stesen Ampang dan kemudiannya melakukan tinjauan parkir bertingkat di situ.

Transformasi Pengangkutan Dahulu Dan Sekarang

Antara transformasi pengangkutan dahulu dan sekarang ialah panambahbaikan bas Rapid Kuantan (SumberBerita)
KUANTAN 26 Nov. - Perkhidmatan bas henti-henti terbaharu, RapidKuantan yang bakal memulakan operasi pada 1 Disember ini dijangka mampu menarik lebih ramai penumpang kerana mempunyai pelbagai ciri keselamatan dan mesra pengguna semua golongan.

Ketua Pegawai Operasi (Bahagian Operasi Bas) Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (Rapid), Mohd. Azam Omar berkata, bas bersaiz 10.7 meter panjang itu mempunyai transmisi automatik dengan enam kelajuan yang direka menggunakan teknologi Sweeden.

Tambahnya, kenderaan itu turut mempunyai lantai yang rendah bagi memudahkan golongan orang kurang upaya (OKU) berkerusi roda menggunakan perkhidmatan berkenaan dengan selesa.

"Bas berkenaan berupaya direndahkan hingga 254 milimeter dari lantai ke tanah bagi kemudahan OKU, warga emas dan kanak-kanak.

"Saiznya yang lebih pendek berbanding bas biasa iaitu 12 meter juga direka khas bagi memudahkan pergerakan kenderaan itu di kawasan perumahan dan jalan di dalam bandar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Bas RapidKuantan ke Kuantan di Depoh Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Mohd. Azam, selain pemasangan lima kamera litar tertutup (CCTV), bas RapidKuantan dilengkapi penunjuk arah digital (LED) di bahagian depan, sisi dan belakang bas.

"Paparan digital pemberitahuan lokasi bas akan berhenti dan pengumuman lokasi bas juga disediakan bagi memudahkan penumpang terutama yang mempunyai masalah penglihatan dan pendengaran.

"Bagi keselamatan penumpang, pintu bas hanya terbuka apabila bas berhenti dan tidak akan tertutup dan bergerak jika terdapat halangan seperti penumpang berdiri di pintu," katanya.

Beliau memberitahu, sebanyak 64 pemandu akan memulakan tugas serentak dengan 32 bas.

Dalam pada itu, selain bas berteknologi tinggi, selamat dan selasa, katanya, pemandu juga merupakan dalam kalangan mereka yang terlatih dan berpengalaman.

Sementara itu, Pengarah Kumpulan Divisyen Bas Prasarana, Zohari Sulaiman berkata, setiap pemandu menjalani latihan komprehensif selama enam bulan termasuk metodologi pemanduan yang baik, berhemah dan mesra pelanggan.

"Kami turut menekankan beberapa aspek kemahiran berkomunikasi seperti perkhidmatan dengan budaya cemerlang, rawatan pertolongan cemas di samping memberi penekanan mengenai elemen integriti dan akauntabiliti.

"Modul latihan kami gunakan termasuk di RapidKL dan RapidPenang adalah diiktiraf kerajaan, sekali gus memberi keyakinan membuka kemudahan latihan ini kepada operator bas lain," katanya.

Tambah Zohari, sebagai permulaan, RapidKuantan akan beroperasi di depot sementara iaitu di Semambu di sini bagi melancarkan operasi harian.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, beliau berharap dengan wujudnya perkhidmatan berkenaan, masalah berkaitan pengangkutan awam di bandar dapat diperkemaskan serta diselesaikan terutama membabitkan masa dan kekerapan perkhidmatan tersebut.

"Saya berharap RapidKuantan dapat menyelesaikan masalah pengangkutan di bandar Kuantan dengan memberi tumpuan kepada kecekapan dalam mengendalikan perkhidmatan tersebut.

"Masalah utama yang sering dihadapi orang ramai ialah kekerapan dan masa tidak menentu sehingga menyukarkan mereka kerana terpaksa mencari kenderaan lain sebagai alternatif," katanya.